ISU Militan: Pemuda Umno mahu
Pas lebih berhemat

BANGI, Khamis – Ketua Pemuda Umno, Datuk
Hishammuddin Hussein memberi amaran kepada Pas agar lebih bertanggungjawab
dalam membuat sebarang kenyataan berhubung isu kegiatan militan di negara ini.
Beliau berkata, Pas lebih banyak berdalih dari memberitahu keadaan sebenar
sehingga ia jelas membuktikan parti itu hanya mementingkan kepentingan politik
sempit mereka daripada kestabilan dan kemakmuran negara.
“Kami tidak bersetuju dengan dakwaan Pas, kononnya tidak wujud sebarang
kegiatan militan sedangkan daripada taklimat Polis Bukit Aman semalam jelas
membuktikan memang wujud kegiatan militan agama di negara ini,” katanya pada
sidang akhbar selepas mesyuarat exco Pemuda Umno di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Nasharuddin
Mat Isa dalam temubual dengan stesen televisyen Cable News Network (CNN),
baru-baru ini, mengenai isu militan di Malaysia.
Dalam temubual itu, Nasharuddin mendakwa tidak wujud sebarang kumpulan militan
di Malaysia, sambil menekankan Pas turut menyokong sistem demokrasi.
Bagaimanapun, Hishammuddin berkata kenyataan Nasharuddin itu jelas
bertentangan dengan beberapa kejadian membabitkan kumpulan militan agama
termasuk peristiwa serangan Balai Polis di Batu Pahat, Johor; peristiwa Memali
di Kedah; kumpulan Al-Ma’unah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).
Sementara itu, Hishammuddin turut mengumumkan mengenai Program Pemuda Masuk
Kampung siri ke empat di kawasan Dabong, Gua Musang di Kelantan.
Mengenai dakwaan ada kalangan bekas ahli Umno yang kini menganggotai Parti
Keadilan Nasional (Keadilan) dipelawa Umno menyertai parti itu semula,
Hishammuddin berkata, Umno mengalu-alukan sesiapa saja yang menerima
perjuangannya.
“Mereka (ahli Keadilan) kini berada di dalam keadaan terdesak. Bagaimanapun
kami sentiasa membuka pintu keahlian Umno kepada semua orang asalkan kemasukan
mereka ini tidak bersyarat,” katanya.